Arab
Spring telah mengubah lahan dunia Arab, juga Afrika Utara dengan tumbangnya
satu persatu regim tirani yang memerintah puluhan dekad umat Islam di kaki anak
muda pemberani. Perubahan politik yang meruak pintu ruang demokratik akhirnya
memberikan impak yang besar terhadap gerakan Islam yang menjadi tenaga
penggerak seruan pembebasan. Gerakan Islam amat penting mewarnai sejarah Islam
abad moden dan daripada beberapa sudut, dapat dilihat sebagai sebahagian
daripada pusingan gerakan kebangkitan yang berulang dalam sejarah dunia.
Tunisia
memulakan wisel, larian pantas di medan Tahrir Kaherah, melaju ke Libya, terus
menerjah gawang Syria. Sokongan hangat di Bahrain, Yaman, Algeria, juga
tangisan kegembiraan di Gaza yang menunggu saat kepungan akan terbarai dengan
kebangkitan Arab yang melanda Asia Barat. Dunia sedang memerhati dengan penuh
debaran, bagaimanakah rantau konflik ini selepas pintu demokrasi dibuka,
berdayakah gerakan Islam atau hanya menjadi pemain simpanan untuk panggung
politik yang semakin meriah.
Kebanyakan
dunia arab atau lebih dikenali sebagai Asia Barat diperintah oleh rejim yang
memerintah sehingga berpuluh abad lamanya. Setelah kejatuhan empayar Khilafah
Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924 masehi, negara-negara arab mula dipecahkan
satu persatu sehingga terwujudnya beberapa buah negara yang berdiri dengan
kakinya sendiri, setelah kedatangan penjajah, maka negara-negara arab telah
dipimpin oleh rejim untuk tempoh pemerintahan yang panjang.
Sepanjang
pemerintahan rejim di dunia arab banyak kezaliman yang timbul, namun rakyat
tidak dapat berbuat apa-apa kerana di dalam proses pilihan raya yang diadakan
tiada ketelusan, kebebasan suara disekat, sesiapa yang menentang kerajaan akan
ditangkap dan dihumban ke dalam penjara, ini dapat dibuktikan dengan sejarah
yang dilalui oleh beberapa orang tokoh gerakan Islam seperti As-Syahid Sheikh
Hassan Al-Banna, As-Syahid Syed Qutb, Sayyid Abul A’la Maududi dan ramai lagi,
mereka telah beberapa kali dihumban ke dalam penjara bahkan ada yang dijatuhkan
hukuman gantung sampai mati atas sebab menentang pemerintah, dalam masa yang
sama rakyat terus dizalimi oleh pemerintah.
Begitu
banyak kerosakan dan kebatilan yang berlaku dalam sistem pemerintahan rejim
negara-negara di asia barat, kerosakan dan kebatilan yang berlaku merujuk
kepada pemerintah yang memerintah negara itu sendiri, dan kebanyakkan
pemerintah di asia barat mempunyai beberapa sifat sepunya antaranya ialah
sistem pemerintahan yang zalim, memegang tampuk pemerintahan dalam jangka masa
yang agak lama, pemerintah juga membolot harta kekayaan negara, sikap isteri
pemerintah juga dilihat sebagai kebatilan dalam pemerintahan dan sistem
pemerintahan yang bersifat tidak demokratik, perkara-perkara inilah yang harus
dibendung dalam sistem pemerintahan sesebuah negara (Kamaruzzaman Yusoff,
2012). Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud :-
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak
yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh
berbuat Segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah
(buruk dan keji), dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”
Penentangan
terhadap pemerintah yang zalim telah berlaku sejak abad 20-an lagi, di Mesir
sebagai contoh, kemunculan gerakan Ikhwan Al-Muslimun oleh Hassan Al-Banna pada
tahun 1928 adalah sebagai langkah yang diambil bagi mengembalikan pemerintahan
yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah iaitu pemerintahan Khilafah Islamiyyah
yang runtuh pada 1924 bagi menggantikan pemerintahan rejim yang zalim (Riduan
Mohamad Nor , 2011 ; 25). Namun segala usaha yang dilakukan masih tidak
membuahkan hasil, bahkan beberapa orang tokoh telah syahid dalam memperjuangkan
kebenaran.
Oleh
yang demikian itu, sebagai jalan terakhir bagi mengatasi masalah yang dihadapi
oleh dunia arab ialah dengan melancarkan revolusi bagi menumbangkan kerajaan
rejim yang zalim. Fenomena kebangkitan arab menentang rejim yang zalim atau
disebut juga sebagai Arab Spring pada abad ke-21 ini telah bertitik tolak dari
negara Tunisia iaitu pada Disember 2010 rentetan daripada kezaliman kerajaan
terhadap Mohamed Bouazizi yang menyebabkan dia membakar dirinya akibat
tertekan.
Bagaikan
nyalaan api di atas limpahan petrol, fenomena kebangkitan arab mula tersebar ke
beberapa negara arab yang lain, seperti Mesir, Algeria, Syria, Bahrain, Yaman
dan sebagainya (Kamaruzzaman Yusoff, 2012), antara negara awal yang terkena
percikan api kebangkitan arab ialah Mesir. Negara Mesir diperintah oleh rejim
Hosni Mubarak selama 80 tahun lebih, sepanjang tempoh tersebut rakyat Mesir
terutama gerakan Ikhwan Muslimun telah menghadapi kezaliman rejim selama 80
tahun lamanya. Perkembangan pesat Ikhwan Muslimun cuba dihalang oleh
rejim-rejim Mesir yang telah bekerjasama dengan pihak barat, mereka menerima
tekanan politik yang amat dahsyat, ribuan diheret ke penjara tanpa perbicaraan,
pelbagai fitnah telah dilemparkan ke atas mereka, gerakan Ikhwan Muslimun juga
pernah diharamkan atas sebab menuntut kerajaan agar melaksanakan undang-undang
syariah di negara Mesir (Riduan Mohamad Nor , 2011; 27).
Namun
sejarah telah membuktikan yang benar akan menenggelamkan yang batil, rejim
Mubarak telah berjaya digulingkan oleh rakyat Mesir seterusnya mengangkat Dr.
Mohamed Morsi wakil dari Ihkwan Muslimun menjadi presiden baru Mesir, ia
dilihat sebagai harapan baru bagi umat Islam di Mesir. Walau bagaimanapun,
dalam protes rakyat yang bermula pada Januari 2012 lalu, gerakan Ikhwan
Al-Muslimun tidak menunjukkan kehadirannya secara terbuka, ia adalah bertujuan
mengelakkan respon keras kerajaan rejim terhadap gerakan itu (Haris Zalkapli,
2012 ; 77).
Dalam
kebangkitan rakyat abad ke-21 ini, ulama dilihat memainkan peranan yang penting
dalam menyemarakkan lagi kebangkitan di dunia arab, khususnya peranan Prof. Dr.
Yusuf Al-Qaradawi ketika kebangkitan rakyat Mesir, beliau telah mengeluarkan
fatwa bahawa wajib bagi setiap individu muslim di Mesir yang tiada keuzuran
untuk bersama-sama turun ke dataran Tahrir bagi menjatuhkan kerajaan yang
zalim, beliau juga turut serta dalam perhimpunan tersebut apabila beliau
memberikan khutbah dan bersama-sama menunaikan solat Jumaat di dataran Tahrir.
Sikap
beliau yang berani itu membuatkan rakyat Mesir khususnya dan seluruh dunia arab
amnya menjadi lebih berani dalam berjuang menegakkan kebenaran menentang rejim
yang zalim. Beliau juga mendoakan agar kebangkitan rakyat Mesir mendapat
kejayaan menumbangkan kerjaan yang zalim. Dalam pada itu, peranan beliau juga
dapat dilihat dalam kebangkitan arab di negara-negara asia barat yang lain
seperti Libya dan Syria bilamana beliau telah memfatwakan bahawa wajib
menumbangkan dan membunuh pemimpin kejam Muammar Ghaddafi di Libya dan Bashar
Asad di Syria.
Rujukan
Haris
Zalkapli. 2012. Gerakan Islam dalam
fenomena Kebangkitan Arab. Kuala Lumpur: Jundi Resource.
Kamaruzzaman
Yusoff. 2012. Wacana Kontemporari Islam 4
: Peranan Ulama & Gerakan Islam Dalam Kebangkitan Arab. UnisZA: Terengganu.
No comments:
Post a Comment